Saturday, July 4, 2009

ANTIBIOTIK

Antibiotik - Kisah Seekor Harimau Yang Kehilangan Taring

Posted by Dr Azwan at 4:18 PM

Assalamualaikum,

Ramai ibu bapa yang meminta saya menulis tentang antibiotik. Antibiotik
menjadi subjek yang sangat penting di dalam bidang perubatan sehingga kini.
Sejak ia dijumpai oleh saintis Perancis Alexander Fleming pada tahun 1928
(sebelum itu dijumpai oleh seorang pelajar perubatan dari German pd 1896 -
tapi tak popular), penicillium yang merupakan produk dari sejenis kulat
didapati berjaya membunuh pelbagai bakteria. Penicillin kemudiannya
digunakan secara meluas ketika perang dunia ke 2 sebagai rawatan utama.

Sehingga kini berpuluh-puluh antibiotik digunakan secara meluas diseluruh
dunia. Antibiotik boleh dibahagikan kepada kesannya yang membunuh bakteria
(bactericidal) atau kesan yang merencatkan aktiviti bakteria
(bacteriostatic) . Kedua-duanya memberi kesan untuk melumpuhkan bakteria
daripada merebak di dalam badan.

Sesuai dengan kesannya, antibiotik hanya berkesan untuk membunuh bakteria
dan bukan virus. Virus biasanya menyebabkan batuk, sakit tekak, selsema dan
sakit badan. 80% sakit tekak dan selsema adalah disebabkan virus. Virus
biasanya akan hilang dengan sendirinya selama 7 hari hingga 14 hari
walaupun tanpa penggunaan antibiotik.

Sebagai contoh - Denggi ialah sejenis virus, jadi tiada antibiotik apa pun
di dalam dunia ini yang boleh membunuh virus denggi. Ia akan hilang dengan
sendirinya selepas 10 hari, tetapi perawatan yang lain seperti mengawal
hidrasi tubuh dan pemerhatian kadar platelet diperlukan. Kenapa tiada
antibiotik digunakan untuk merawat denggi? Ya, kerana denggi ialah sejenis
virus. (pandaaaii.. ... :) )

Sekiranya semua doktor memberikan antibiotik kepada pesakit yang mempunyai
sakit tekak dan selsema, dan semua pesakit mengambilnya, ini bermakna 80%
daripada antibiotik tadi yang tidak memberi apa-apa kesan kepada virus
adalah satu pembaziran, sia-sia malah boleh mendatangkan bahaya kepada
tubuh.


Kenapa Perlu Berhati-Hati Mengambil Antibiotik?

1. Antibiotik boleh menyebabkan alahan. Alahan boleh jadi sedikit seperti
urticaria iaitu timbul ruam gegata di seluruh badan sehingga ke alahan yang
teruk seperti kulit melecur dan sesak nafas.

2. Antibiotik mempunyai kesan sampingan. Antibiotik boleh menyebabkan kesan
sampingan kecil seperti loya, pening, muntah dan cirit birit sehingga ke
yang teruk seperti kerosakan buah pinggang, usus dan hati, pekak dan sawan.
Steven Johnson Syndrome adalah satu kesan sampingan kepada beberapa jenis
antibiotik berasaskan sulfa. Ia menyebabkan keadaan kulit seperti terbakar
dan juga menyerang kawasan seperti mulut mata dan lidah. Kesan sampingan
ini boleh membawa maut. Sila lihat gambar.


3. Antibiotik sebagai bom nuklear. Bukan semua bakteria di dalam badan
adalah jahat. Bakteria baik di dalam usus sebagai contoh lactobacillus,
memenuhi usus supaya bakteria jahat seperti Clostridium Difficile tidak
dapat memenuhi ruang tersebut. Malah ada bakteria di usus yang boleh
membantu penghadaman dan menghasilkan sejenis vitamin yang membantu
manusia. Begitu juga contohnya dengan kawasan vagina wanita. Bakteria baik
yang terbunuh boleh menyebabkan "candida", sejenis kulat senang membiak di
kawasan itu.

Malangnya, antibiotik tidak mengenal musuh. Ia seperti sebuah BOM NUKLEAR.
Kawan atau lawan, semuanya disapu, disembelih dan dibunuh dengan kejam.
Pembunuhan beramai-ramai tanpa belas kasihan ini ternyata membawa padah.
Selepas tiada lagi bakteria yang baik, maka bakteria yang jahat akan
bermaharajalela. Jadilah episod cerita koboi bila sherif dah tak ada.

Antibiotik Seperti Harimau Hilang Taring

Apabila antibiotik diambil dan digunakan sewenang-wenangnya, maka Bakteria
yang tidak terbunuh oleh antibiotik akan menjalani mutasi. Ia menjadi kebal
dan semakin kuat. Bakteria ini akan membiak dan tersebar di kalangan
manusia yang dekat dan jauh.

Apa yang berlaku, antibiotik yang sama apabila digunakan tidak lagi
berfungsi seperti sebelumnya. Maka, doktor terpaksa menggunakan antibiotik
yang lebih kuat kerana yang lama tidak berkesan. Kitaran ini akan menjadi
lebih menakutkan. Antibiotik yang kuat ini pula digunakan
sewenang-wenangnya. Maka apabila bakteria mula bermutasi dan menjadi kebal,
antibiotik yang kuat tadi semakin hilang belangnya. Antibiotik yang lebih
kuat lagi digunakan... ia akan berterusan sehingga tiada lagi antibiotik
yang berkesan terhadap manusia.


Kos Perubatan Meningkat

Semakin kuat antibiotik digunakan semakin mahal antibiotik tersebut. Anda
yang kaya mungkin tak kisah dengan kos antibiotik yang meningkat sekarang.
; Tetapi buat yang susah, RM 60 untuk 7 biji Augmentin memang memeningkan
kepala. Di hospital kos perbelanjaaan rawatan juga semakin meningkat. Ini
kerana antibiotik yang kuat tidak mungkin berharga murah. Syarikat
farmaseutikal terpaksa membelanjakan jutaan wang untuk menghasilkan
antibiotik yang lebih kuat dan siapa yang harus membayar harga itu?


Kenapa Antibiotik Digunakan Sewenang-Wenangnya?

1. Sebelum menuding kesalahan kepada orang lain, lebih baik salahkan diri
sendiri dahulu. Doktor seperti saya, kadangkala selalu memberikan
antibiotik walaupun tidak perlu. Biasanya General Practioner (GP) di
klinik-klinik swasta lebih suka melakukan demikian. Ada beberapa sebab...

a. Satunya mungkin tidak beberapa yakin kepada diagnosis yang dibuat.
Terdapat
garisan di antara jangkitan bakteria dan virus. Mungkin garisan itu
sukar
dibezakan untuk sesetengah pesakit.
b. Untuk mengelakkan secondary infection. Jangkitan bakteria di atas
jangkitan virus yang sedia ada. (ini alasan yang baik bagi doktor
untuk menjual antibiotik)
c. Menghindarkan persepsi buruk pesakit kepada doktor dan klinik.
Kalau anda nak tahu, ada jenis pesakit yang mempunyai tanggapan buruk
kepada doktor yang tak mahu memberikan antibiotik. "Apalah ini
doktor, tarak bagi antibiotik, next time tarak mau datang sini lagi".
atau "ini klinik tak bagus, takda bagi antibiotik". Hilang seorang
pelanggan...
d. Meningkatkan keuntungan dengan memberi antibiotik. Ya, jualan
antibiotik boleh menguntungkan. Itu sebab ramai doktor swasta akan
memberi antibiotik walaupun dengan sebab-sebab yang tidak logik.

2. Pesakit juga bersalah di dalam hal ini. Saya sudah banyak kali
menceritakan ada ibu bapa yang terlalu menekan doktor untuk memberi
antibiotik. Ada yang masam mencuka bila tak bagi antibiotik. Padahal anak
tak ada demam pun, atau hanya sedikit selsema. Jikalau ibu bapa tahu betapa
teruknya kesan Steven Johson Syndrome, sejenis lecuran kulit disebabkan
alahan antibiotik pasti anda lebih berhati-hati.

"Anak saya takkan baik kalau tak diberi antibiotik". Ini adalah ayat cliche
untuk ibu ayah yang selalu bagi anaknya antibiotik walaupun sedikit demam.


Cara Saya

Anda patut percaya, saya sendiri sebagai doktor, tak pernah memberi
antibiotik kepada anak saya yang batuk, demm atau selsema selama seminggu.
Saya akan memberinya ubat-ubat yang perlu sahaja, vitamin C tambahan, minum
air kosong banyak dan makan banyak buah-buahan. Pada kebiasaannya, selepas
seminggu batuk itu akan hilang.

Sekiranya selepas seminggu batuk, dengan adanya demam tinggi dan selsema,
saya mungkin akan mulakan antibiotik yang paling rendah. Antibiotik mesti
dihabiskan.

Perlu diberitahu di sini... Ubat antibiotik bukanlah ubat demam, atau
selsema atau ubat sakit perut. Ia adalah untuk membunuh bakteria dan .
Kalau demam, makan lah ubat demam dan kalau selsema makanlah ubat selsema.
Antibiotik digunakan sekiranya terdapat jangkitan bakteria.


Doktor, Tolong Bagi Antibiotik Paling Kuat!

"Doktor, saya batuk dan sakit tekak, esok saya ada meeting. Boleh bagi saya
antibiotik paling kuat supaya saya boleh pergi meeting esok".

Pertama sekali saya nak bagi tahu, Allah bagi kita sakit selain daripada
ujian dan menghapuskan dosa, ialah untuk memberitahu kita yang badan kita
ini perlukan rehat kerana bekerja terlalu kuat. Antibiotik tak boleh
membantu anda mengembalikan kesihatan anda seperti sediakala sekiranya anda
mengidap jangkitan. Berilah masa untuk badan anda berehat.

Kedua, untuk memberi antibiotik, perlu ada caranya. Mulakan dengan
antibiotik yang tak beberapa kuat dahulu. Kemudian baru naik selangkah demi
selangkah sekiranya tidak berkesan. Kalau kita nak bunuh seekor nyamuk,
janganlah rumah hendak dibakar. Kalau nak bunuh bakteria yang tak beberapa
kuat, jangan gunakan antibiotik yang paling kuat. Itu salah cara.

Tujuannya adalah untuk memastikan antibiotik yang paling kuat disimpan
untuk menghadapi kuman yang sama kuat juga. Sekiranya kuman biasa pun dah
menjadi kebal kepada antibiotik yang paling kuat, apabila tiba kuman yang
paling kuat, tiada antibiotik lagi yang boleh digunakan.
Bayangkan, tiada lagi ubat untuk membunuh bakteria... Sedikit luka di kaki
pun boleh menyebabkan kematian. Kita seolah-olah kembali ke zaman sebelum
Perang Dunia Kedua!!



2 comments:

  1. tergelak aku membaca perkongsian kisah antibiotik ni
    bukan sebab kelakar
    tapi sebab ramai orang kita tak tahu kegunaan antibiotik

    hohoho~

    ReplyDelete
  2. Tu lah tak semua ubat itu penawar...ada yang kalau over dos akan jadi racun pula.

    ReplyDelete