Sunday, January 29, 2012

Ribut Geomagnetik


PENTING: Kejadian Ribut Geomagnetik Petanda Kiamat Makin Hampir?

Satu fenomena letusan suar matahari dan semburan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) telah dilaporkan berlaku di permukaan matahari pada 23 Januari lalu yang dikesan melalui satelit khas pemantauan matahari, SOHO dan STEREO milik NASA dan ESA.

Letusan ini telah menyebabkan fenomena ribut geomagnetik di bumi pada 24 Januari sekitar jam 15:00 UT (jam 23:00 Waktu tempatan).

Fenomena ini telah dilaporkan oleh stesen TV3 pada hari yang sama.

Untuk rekod, matahari adalah sebuah bintang bersaiz sederhana dan mempunyai aktiviti luaran (permukaan) seperti pembentukan tompok hitam (sunspot), penyemburan tenaga melalui fenomena seperti suar matahari (flare) dan penyemburan jisim korona yang boleh menyebabkan fenomena ribut suria (solar storm).

Aktiviti matahari ini mempunyai kitaran ‘senyap’ dan juga ‘aktif’ selama 11 tahun yang berulang yang dikenali sebagai kitaran suria (solar cycle).

Fenomena di mana matahari mengalami aktiviti ‘aktif’ ini di kenali sebagai solar maksimum (solar max) yang dijangka akan berlaku dalam tahun 2012 hingga 2013.

Kesan fenomena ribut suria dan interaksinya dengan medan magnet dan lapisan ionosfera bumi boleh menyebabkan ribut geomagnetik yang mana boleh menyebabkan gangguan kepada sistem komunikasi radio dan radar, sistem satelit dan gangguan kepada sistem navigasi seperti kompas yang berpandukan kepada magnetik bumi dan fenomena kenampakan aurora di kutub utara dan selatan bumi.

Ribut geomagnetik yang sangat kuat seperti yang berlaku pada tahun 1989 telah menyebabkan arus aruhan yang menyebabkan kebakaran alat transformers di jaringan elektrik voltan tinggi di Wilayah Quebac, Kanada.

Sebenarnya penulis agak panik juga bila mengetahui berlakunya fenomena sedemikian, bertambah panik lagi apabila ramai pihak mendakwa fenomena ini merupakan petanda kiamat makin hampir.

Sejauh manakah benar dakwaan berkenaan?

Agensi Angkasa Negara mempunyai jawapan saintifik berhubung fenomena tersebut.

Dalam kenyataan di laman webnya, AAN menjelaskan satu Nota Jemaah Menteri (N618/2011) daripada MOSTI telah dibentangkan pada 3 Ogos 2011 yang telah menerangkan fenomena berkaitan, dan juga jangkaan berlakunya solar maksimum pada tahun 2012 – 2013 ini, dan kesannya kepada bumi dan aktiviti berkaitan.

Menurut AAN, satu jawatankuasa bersama antara mereka dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum, juga telah diwujudkan untuk memantau dan menangani fenomena solar maksimum ini.






Berkenaan laporan ribut geomagnetik yang dilaporkan berlaku pada 23 Januari itu, AAN menjelaskan, laporan daripada National Space Weather Prediction Centre (NSWPC) dan National Oceanic & Atmospheric Administration (NOAA) menunjukkan ribut yang telah berlaku hanyalah pada skala G1 (bacaan paling rendah) dan bukannya G2 – G3 seperti yang dilaporkan oleh berita TV3.

” Ribut itu tidak memberi gangguan kepada sistem infrastruktur di bumi dan hanya telah mewujudkan fenomena aurora di kutub utara. Untuk makluman, skala G5 ialah bacaan yang paling tinggi.

” Untuk makluman juga, fenomena seperti ribut geomagnetik ini hanya memberi kesan yang ketara kepada negara-negara yang berada di kutub atau di latitud tinggi seperti USA, Rusia, Eropah manakala negara-negara yang berada berhampiran Khatulistiwa adalah lebih selamat.

” Sehubungan dengan itu, Malaysia diramalkan selamat dan tidak akan terkesan dengan fenomena berkaitan,” jelas AAN dalam kenyataan tersebut.

Untuk makluman, bermula bulan Januari 2012 ini, Jawatan Kuasa Pemantauan Solar Maksimum akan menyediakan laporan berhubung dengan fenomena ini secara bulanan untuk makluman umum.

Dengan penjelasan AAN itu, penulis berharap kita semua jangan cepat panik dengan apa yang berlaku.

Ingatlah, kiamat merupakan kerja Tuhan dan bukannya urusan kita.

Firman Allah bermaksud, “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja.” (Surah Al-An’am: 59)

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibnu Kathir telah menyatakan satu hadis daripada Imam Bukhari yang meriwayatkan daripada Salim bin Abdilllah, daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya anak kunci segala perbendaharaan itu ada lima, tidak mengetahui seseorang pun melainkan Allah SWT.

“Lalu Baginda membaca firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Pengetahuannya.” (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi SAW menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.

Pertama ialah tentang bilakan berlakunya hari kiamat.

Bukan sahaja Nabi SAW dan manusia yang lain tidak akan mengetahuinya, para malaikat pun tidak diberitahui tentang bilakan berlakunya hari kiamat itu sehingga Jibrail a.s. datang menemui Rasulullah s.a.w. satu ketika bertanyakan soal itu.

Kedua, tentang kekuasaan Allah menurunkan hujan. Allah sahaja yang berkuasa untuk menurunkan hujan di mana sahaja yang Dia kehendaki.

Ketiga, Dialah sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Keempat, Dialah jua yang mengetahui apa yang akan berlaku ke atas seseorang dengan setepat-tepatnya sama ada baik ataupun buruk. Manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepadanya esok hari.

Kelima, Dia sahaja yang mengetahui di manakah bumi tepat matinya seseorang manusia, bagaimanakah keadaan manusia itu mati dan seumpanya. Begitulah juga dengan makhluk-makhluk yang lain. Mereka tidak mengetahuinya tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Sementara itu sebuah hadis daripada Umar r.a. bahawa Jibrail a.s. ketika merupakan dirinya sebagai seorang manusia yang berpakaian seperti orang Arab, datang menemui Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang Iman, Islam dan Ihsan, lalu Rasulullah s.a.w. memberitahu Jibrail a.s. bahawa ada lima perkara seseorang pun tidak mengetahuinya melainkan Allah.

Lalu baginda s.a.w. membaca firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya di sisi Allah ada pengetahuan tentang hari kiamat.” (Surah Luqman: 34).”

Wallahualam. – Oleh SYAHRIL A. KADIR

Tuesday, January 24, 2012

Adakah Mandi Pada Waktu Malam Mudarat Bagi Kesihatan?


Dicatat oleh ustazcyber


KUALA LUMPUR, 10 Jan (Sumber) -- Adakah ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan?

Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik?

Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan bahawa kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan dari kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetis, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata beliau.

KEBAIKAN MANDI

Menurut Dr Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.

"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, mana-mana pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi".

Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria dari permukaan kulit.

"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun anti bakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam," kata beliau.

EKZEMA

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.

"Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr Tan.

Katanya rawatan bagi kulit yang kering ialah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik adalah berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.

"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering. Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air dari kulit.

"Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang punya masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit," terang Dr Tan.

JADUAL KERJA KETAT

Tetapi ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang punya masalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.

Pengamal perubatan Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Katanya ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.

"Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita.

"Masalah itu boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?

"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini. Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air dari paip.

"Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar di mana masyarakat menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti dari binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita dari mandi waktu malam.

"Kini kita semakin maju dan punya kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur," kata beliau.

PEMULIHAN BADAN

Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merelakskan otot badan.

"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.

"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

Kata Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat".

Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.

"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.

Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.

-- BERNAMA

Bahaya Ketuhar Gelombang Mikro

Lagi Artikel untuk dikongsi bersama Seluruh warga kerja SIRIM Berhad dan Anak Syarikat
SEPULUH SEBAB KETUHAR GELOMBANG MIKRO (KGM) MESTI DI BUANG!!!!!!




Perhatikan fakta hasil kajian klinikal saintifik Swiss, Jerman dan Rusia di
bawah ini:


1. Makan makanan yang melalui proses KGM menyebabkan kerosakan otak

dalam jangka panjang iaitu ia “memendekkan” utusan elektrik di dalam
otak (depolarizing atau demagnetizing tisu otak).
2. Badan manusia tidak mampu meleraikan (metabolize) bahan makanan yang
dimasak/dipanaskan di dalam KGM.
3. Pengeluaran hormon lelaki dan perempuan terhenti dan/atau berubah
dengan mengambil makanan gelombang mikro.
4. Kesan makanan gelombang mikro sebenarnya ibarat sisa/sampah di dalam
badan manusia.
5. Mineral, vitamin dan khasiat makanan gelombang mikro berkurang atau
berubah. Jadi badan kita dapat sedikit sahaja manfaat makanan. Badan
kita juga menyerap kompaun-kompaun yang berubah itu, dan tidak dapat
meleraikannya.
6. Mineral-mineral di dalam sayuran berubah menjadi radikal bebas yang
menyebabkan kanser apabila dimasak/dipanaskan di dalam ketuhar
gelombang mikro. Ini antara punca mengapa pengidap kanser meningkat.
7. Makanan gelombang mikro menyebabkan ketumbuhan kanser di dalam perut
dan usus-juga menjadi punca meningkatnya penghidap penyakit ini.
8. Makan makanan gelombang mikro berpanjangan menyebabkan sel-sel kanser
meningkat di dalam darah manusia.
9. Makan makanan gelombang mikro secara berterusan juga menyebabkan
merosotnya sistem imun melalui kelenjar limpa dan pengubahan serum
darah.
10. Makanan gelombang mikro menyebabkan hilang daya ingatan,
tumpuan, kestabilan emosi dan mengurangkan kecerdikan.

Bahaya Ketuhar Gelombang Mikro


Mengapa Ketuhar Gelombang Mikro Bahaya?
Ketuhar gelombang mikro (KGM atau microwave oven) ialah antara peralatan
moden yang popular di kalangan para suri rumah dan pengusaha restoran di
dunia sebagai jalan pintas menyediakan makanan untuk keluarga dan
pelanggan.
Ketuhar ini amat popular kerana kecekapannya memanaskan makanan dalam
sekelip mata. Lebih-lebih lagi amat membantu pada bulan puasa, waktu sahur
terutamanya. Para ibu dan isteri hanya perlu memasukkan makanan ke dalam
ketuhar dan tekan punatnya. Sekelip mata makanan panas sudah pun terhidang.
Justeru hampir setiap rumah kini memiliki KGM.


Cara Masak Melawan Fitrah
Cara memasak atau memanaskan makanan di atas api atau ketuhar biasa bermula
dengan makanan panas di bahagian luar dahulu kemudian barulah haba masuk ke
bahagian dalam. Berlainan dengan penggunaan KGM, makanan yang dimasak atau
dipanaskan akan menjadi panas dibahagian dalam dahulu barulah haba bergerak
ke luar.
Ini boleh dilihat dengan membakar kentang di dalam KGM untuk satu tempoh
yang agak lama, katakan sejam. Walaupun kelihatan seperti belum masak,
tetapi jika dibelah tiada apa di bahagian dalamnya melainkan arang.
Inilah yang dikatakan cara memasak melawan fitrah. Pastinya sesuatu yang
melawan fitrah lazimnya membawa keburukan.


KGM Pengancam Nyawa
KGM diperkenalkan kepada orang ramai pada sekitar pertengahan 1950-an.
Ketika itu tidak banyak kajian saintifik terhadap kesan memakan makanan
gelombang mikro. Cuma kebelakangan ini barulah pelbagai kajian dan
penyelidikan dilakukan terhadap kesannya kepada kesihatan manusia.
Kesemuanya merumuskan bahawa ketuhar gelombang mikro menghasilkan makanan
yang sangat berbahaya. Ini agak mengejutkan kerana ketuhar ini baru bersama
kita beberapa dekad sahaja. Namun dalam tempoh yang singkat itu, pelbagai
penyakit yang berbahaya dan pelik-pelik muncul satu persatu. Ini secara
teorinya, menjelaskan penggunaan KGM turut menyumbang kepada meningkatnya
pelbagai penyakit yang mengancam nyawa.
Tidak hairan jika golongan remaja hari ini ramai yang diserang sakit
jantung dan orang muda seawal usia 20-an dan 30-an mati akibat kanser.


Makanan Jadi Toksik
Dalam penggunaan ketuhar gelombang mikro, radiasi elektromagnetik
menggerakkan molekul-molekul makanan.
Molekul-molekul ini “dipaksa” berpusing sedangkan kalau memanaskan makanan
cara biasa, molekul-molekul ini bergerak dari tepi ke tepi. Keadaan
berpusing ini memusnahkan molekul dan kadang kala menyusunnya semula
menjadi bahan-bahan toksik yang menyebabkan alahan kepada manusia.


Badan Tidak Kenal Makanan
Yang dibimbangkan tentang penggunaan KGM bukan radiasi yang terhasil tetapi
bagaimana ia merosakkan DNA makanan hingga badan manusia tidak kenal bahawa
apa yang ditelan itu ialah makanan.
Kerana tidak mengenali makanan, badan bertindak menyalutinya di dalam
sel-sel lemak sebagai perlindungan terhadap “makanan mati” atau badan
mengumuhkannya dengan pantas.
Sungguh pun telah banyak bukti saintifik yang didedahkan oleh saintis akan
bahaya penggunaan KGM, para pengeluar tetap mengatakan ia selamat kerana
keuntungan yang diperolehi daripada penjualannya yang berlipat ganda.


Penemuan Mengejutkan
Dua orang penyelidik, Blanc dan Hertel telah mengesahkan bahawa memasak
menggunakan KGM dengan ketaranya mengubah nutrisi makanan. Hertel telah
bertahun-tahun menjadi saintis makanan dan berkhidamt di sebuah syarikat
makanan Swiss terkemuka. Dia dibuang kerja kerana mempersoalkan prosedur
memproses makanan secara luar tabi’i. Lantas dia bergabung tenaga dan
kepakaran dengan Blanc dari Swiss Federal Institute of Biochemistry dan
University Institute for Biochemistry.
Kedua-dua saintis ini mengkaji kesan makanan KGM terhadap 8 individu dengan
mengambil darah mereka sejurus selepas mengambil makanan yang dimasak
menggunakan KGM. Blanc dan Hertel mendapati paras hemoglobin mereka
menurun. Hasil kajian ini menunjukkan orang yang makan masakan KGM
cenderung mendapat anemia (kurang darah). Situasi ini bertambah jelas pada
bulan kedua penyelidikan.
Itu baru dua bulan, bagaimana kalau kita memakannya berbulan-bulan malah
bertahun-tahun?
Terdapat banyak jurnal dan rencana kesihatan dan perubatan yang menjelaskan
bahayanya ketuhar gelombang mikro kepada nyawa manusia. Antaranya:


http://www.mercola.com/article/microwave/hazards2.htm
http://www.cancersalves.com/
http://www.indigosu/n.com/august99/microwave.htm
article/microwave.html

Saturday, January 7, 2012

Jauh sekali ku bermenung di sini
Cuba mengerti cerita kita ini
Pernahku rasa kau dicipta untukku
Entah mengapa kau terlewat tiba meluahkan cinta

Sukarnya memendam rasa
Sukar menimbus rindu
Terpaksa ku lawan gelora

Walau kini hasrat yang kau bawa
Terhempas dari jiwa
Walau kini sesaat terasa
Bagaikan nadimu terhenti
Aku harus pergi membawa diri

Bukan mahuku menghampakan hatimu
Entah mengapa kau terlewat tiba
Meluahkan cinta

Biar pedih realiti ini
Kau perlu memahami
Dia yang terdahulu ke mari
Mengetuk di pintu kalbuku
Menghuni di sisi selama ini

Usah kau menanti
Mengharapkan kasih
Biarlah cerita di antara kita
Tamat akhirnya

Walau kini hasrat yang kau bawa
Terhempas dari jiwa
Walau kini sesaat terasa
Bagaikan nadimu terhenti
Aku harus pergi membawa diri


Aku harus pergi membawa diri