Dari Jabir bin Abdullah r.a., dari Nabi SAW sabdanya: "Tidak seorang pun pemilik unta, pemilik sapi atau pemilik kambing yang tidak membayar haknya, melainkan nanti hari kiamat dia dibaringkan pada suatu tanah datar, lalu diinjak-injak oleh ternak dengan kukunya dan ditanduk dengan tanduknya. Pada hari itu tidak ada haiwan bertanduk yang tidak ada tanduknya, dan tidak ada pula yang patah tanduk." Tanya kami, "Ya, Rasulullah! Apakah haknya?" Jawab baginda, "Membibitkan jantannya, menternakkan betinanya, memerahnya, membawanya ke air dan mempergunakannya untuk Allah. Tidak seorang pun pemilik harta yang tidak membayar zakatnya, melainkan hartanya itu berubah menjadi ular besar berbisa yang mengikuti pemiliknya ke mana saja dia pergi, sedangkan dia sendiri selalu lari dari ular itu. Lalu dikatakan orang kepadanya, "Inilah hartamu yang engkau bakhil dengannya." Setelah dia tahu bahawa dia tidak dapat lari dari ular itu, maka dimasukkannya tangannya ke mulut ular itu, lalu ular itu menggigitnya seperti haiwan jantan menggigit." (Sahih Muslim)
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Zakat diertikan sebagai "tumbuh dan bertambah". Ianya juga bererti berkat, bersih, suci, subur dan berkembang maju. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat." (Surah an-Nur, ayat 56)
Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat kerana sesungguhnya mereka yang kaya dan berada harus menyedari bahawa di dalam harta mereka wujud hak orang-orang fakir dan miskin.
Di antara hikmah Allah SWT mensyariatkan zakat ialah:-
- mengagihkan kekayaan dari golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada, iaitu sistem sosio ekonomi Islam.
- membersihkan diri membayar zakat.
- membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
- mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t di kalangan orang yang berada
- mengurangkan perasaan irihati di kalangan orang yang bernasib baik
No comments:
Post a Comment